Sunday, August 28, 2005

Islam Hadari Dari Perspektif Bahasa

Islam Hadari, Hadarah Islamiyah?

Saya fikir, biarlah saya membentangkannya berdasarkan satu pandangan daripada lughah, supaya pembaca boleh menilai dan meneliti; mengapa berlaku perdebatan yang panjang hanya kerana kalimah yang hanya dua patah.

Islam Hadari adalah dua patah kata dengan (hadari) menjadi sifat kepada lafaz (Islam) Menjadikan kalimah (hadari) sifat kepada Islam membawa maksud – Islam itu bersifat Hadari. (pemaknaan begini akan terhasil apabila, kalimah Islam dan hadari sama-sama makrifah, dan bukan nakirah)

(Sifat yang dimaksudkan adalah na'at dalam bahasa Arab. Manakala 'makrifah' dan 'nakirah' adalah sejenis keadaan bagi perkataan dalam bahasa Arab.)

Adapun Hadarah Islamiyah pula adalah contoh penggunaan (idofah). Idofah dalam bahasa Arab antaranya bermaksud; Min (daripada). Dalam bahasa yang mudah, Hadarah Islamiyah diertikan sebagai , Hadarah Min Islamiyah. Diterjemah ke bahasa Melayu; Kemajuan daripada Islam. Pemaknaan Min dalam ayat juga membawa makna sebahagian, lantas menatijahkan; kemajuan sebahagian daripada Islam.

Perbezaan ini (dari sudut bahasa) dilihat sangat serius kerana beberapa faktor.

Pertama, apabila pihak terbabit mengumumkan pelaksanaan Islam Hadari (sekarang ini), maka sesiapa sahaja akan bertanya; jika sekarang mahu melaksanakan Islam Hadari, jadi Islam apakah yang kita amalkan selama ini? Islam apa?

Mereka akan bertanya; apa itu Islam Hadari?

Menerangkan maksud Islam Hadari akan menatijahkan maksud – Islam yang bersifat kemajuan. (kerana hadari adalah sifat@na'at) Sedarkah kita, pernyataan ini membawa maksud kedua; menyatakan kewujudan Islam bukan hadari @ Islam tidak maju. Dan Islam inikah yang kita amalka selama ini?

Ini terang-terangan salah dan menghina Islam. Bagaimana kita boleh berkata, kita cuba membawa Islam yang bersifat kemajuan (sekarang ini), sekaligus menyatakan wujudnya Islam yang tidak bersifat kemajuan (sebelum in)? Adakah selama ini Islam yang kita amalkan tidak hadari (baca: maju)

Kita sebagai umat Islam tahu, bahawa Islam itu 'sesuai melangkaui ruang dan waktu' hingga menyebabkan ia sentiasa sesuai dengan peredaran zaman sekalipun. Islam sentiasa 'hadari' sejak dahulu hingga sekarang. Nah! Jadi di mana kesesuaian penggunaannya dalam akidah kita? Jadi, Islam sentiasa relevan dengan kemajuan zaman. Bahkan, Islam jauh lebih kehadapan daripada kemajuan yang kita nikmati!

Kedua, meletakkan Hadarah Islamiyah itu lebih menepati hakikat sebenar. Hadarah Islamiyah (dari perspektif bahasa) bermaksud - Hadarah daripada Islam@kemajuan daripada Islam.

Makna 'daripada' yang wujud dalam (idofah) membawa erti tambahan. Hadarah dalam ruang lingkup ini membawa erti; selain kemajuan (hadari) dalam Islam, terdapat pelbagai perkara lain yang lebih luas lagi.(contohnya, tarbiah islamiyah, majmaul islamiyah, akhlaqul islamiyah) Keduanya, ia membawa erti, Islam itu bukan semata-mata hadari, bahkan bersifat melampaui hadari. Ketiga, penggunaan (idofah) dapat difahami membawa erti, jika hadari merupakan sesuatu yang luas, maka Islam itu jauh lebih luas. Maka, meletakkan hadari 'sebahagian' daripada 'Islam' adalah hakikat yang sepatutnya dipegang oleh semua umat.

Perhatikan contoh ini. Hadarah Islamiyah, Tarbiyah Islamiyah, Usratul Islamiyah, Majmaul Islamiyah dan lain-lain lagi. Ini kerana Hadarah Islamiyah bererti kemajuan sebahagian daripada Islam, dan bukan Islam seluruhnya.

Barangkali, mempelajari bahasa Arab dengan lisan Melayu kurang mengesankan. Anda patut mempelajari bahasa syurga ini terlebih dahulu kalau benar mahu berdebat mengenainya.

(Keadaan akan lebih teruk sekiranya Islam hadari diiktibar sebagai – mubtada' khabar. Kerana hadari layak menjadi khabar apabila ia nakirah. Meletakkan hadari menjadi khabar membawa erti yang jauh lebih pesong – Islam itu adalah kemajuan. Sedangkan Islam lebih daripada apa yang mereka sangkakan.)

(Begitu juga, Islam Hadari tidak boleh diiktibar sebagai 'mudof ila nakirah', kerana ia membawa makna yang paling jauh dari kebenaran. Membawa makna sebagai 'mudof ila nakirah' memberi faham – Islam itu sebahagian daripada kemajuan. Ini salah! Kemajuan barulah sebahagian daripada Islam.)

Menafikan segala apa yang telah saya catatkan barangkali cuma ada satu cara. Itulah- menjadikan 'Islam Hadari' satu istilah.

Di dalam bahasa Arab, istilah kadangkala (dalam kebanyakan keadaan) menyalahi maksud lughawi. Sebagai contoh, lafaz Ansar. Ya, ansar bermakna penolong. Itu makna lughawi. Sesiapa sahaja boleh menjadi ansar.

Tetapi sebaliknya, ansar dalam istilah membawa maksud, sahabat-sahabat Rasulullah di Madinah ketika peristiwa hijrah.

Ya, kita bukanlah 'ansar' ketika menolong orang lain (dari sudut istilah), tetapi kita adalah 'ansar' ketika menolong orang lain (dari sudut lughah).

Begitu juga dengan Islam Hadari. Sekalipun ia mungkin salah (dari sudut lughah kerana sebab-sebab yang saya kemukakan tadi), tetapi sekiranya pihak yang terbabit memaknakan Islam Hadari (dengan makna istilah) yang bertentangan dengan apa yang saya terangkan (dari sudut lughah), maka ia masih ada harapan menjadi betul.

Itulah saya kata; ini satu pandangan bahasa. Anda baca dan nilai bagaimana?

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: