Saya menambah kaedah ini dengan menjelaskan - bahawa jar dan majrur, berada di posisi yang paling lemah dalam ayat, kerana jar dan majrur boleh ditakdimkan (di kehadapankan) atau boleh ditakhirkan (di kebelakangkan) dalam sesuatu ayat, selama mana ia bukan bersifat zaidah.
Menerangkan kaedah ini, saya suka membawakan contoh paling mudah supaya dapat menjelaskan posisi dan kedudukan sebenar. Contoh - waqafa muhammadun fi l-masjid - boleh ditukar kepada - fi l-masjid waqafa muhammadun. Dalam contoh yang pertama, jar majrur diletakkan di akhir ayat (ditakhirkan) dan dalam contoh yang kedua, jar majrur di letakkan di awal ayat (ditakdimkan), dengan keadaan kedua-dua makna, masih lagi membawa makna yang sama, sekalipun ia ditakdimkan, atau ditakhirkan.
Saya menambah lagi, bahawa jar dan majrur berada dalam posisi paling lemah (selama mana ia bukan zaidah) kerana ia bukan sahaja tidak membawa perbezaan sekiranya ditakdimkan mahupun ditakhirkan, bahkan ia juga boleh dimahzufkan (dibuang) dan ia tidak menjejaskan struktur ayat, dan ayat masih dianggap sempurna tanpa sebarang cacat.
Kerana sifatnya yang 'muta'allik bi ma qablahu', bergantung kepada apa yang sebelumnya, ia bersifat lentur dan mudah alih. Maka tidak hairanlah, sekiranya anda mempelajari usul feqh, anda akan menjumpai muqaiyad dan mutlak, dan ia ada kaitan dengan sifat istimewa jar majrur ini.
Apabila saya menambah perincian kaedah 'boleh dimahzufkan' dalam konteks ini, adalah penting untuk dijelaskan juga, bahawa makna ayat akan 'berkurang' kesan daripada pembuangan jar majrur. Bahkan, pentakhsisan makna boleh bertukar kepada peng-am-an makna, juga sebaliknya. Ya, ia akan mengganggu isi kandungan sebenar yang mahu disampaikan oleh penutur.
Sebagai contoh, ayat, saya pergi ke sekolah dengan bas pada jam sepuluh pagi (zahabtu ila l-madrasati bi l-utuubis fi s-sa'aati l-a'shirati sobaahan) mengandungi beberapa huruf jar iaitu ila (ila l-madrasah), dan bi (bi l-utuubis) juga fi (fi s-sa'aati l-a'shirati). Sekiranya menggunakan kaedah yang saya sebutkan tadi, kita bukan sahaja boleh mentakdim mahupun mentakhirkan mana-mana jar dan majrur tanpa menjejaskan makna (selama mana ia bukan zaidah), tetapi kita juga boleh menghazafkan jar dan majrur tersebut tanpa 'menjejaskan struktur asas' ayat.
Mari kita hazafkan. zahabtu
Dalam contoh di atas, zahabtu sudah memiliki fe'el dan fa'el (ta fa-'el), dan struktur ayat telah sempurna. Inilah yang saya maksudkan dengan 'keharusan menghazafkan jar tanpa menjejaskan struktur asas ayat'. Ayat masih lagi sempurna, sekalipun selepas hazaf. Ayat masih lagi betul. Cuma, makna sebenar penutur telah dikurangkan kerana hazaf ini.
Apa pentingnya memahami konsep dan kaedah ini? Ia membantu anda menjejak dan memahami mana satukah struktur asas ayat, dan manakah aksesori tambahan sesuatu ayat. Apakah asas sesuatu ayat dalam sesuatu uslub, dan manakah yang bersifat tambahan semata-mata.
Dalam konsep yang saya terangkan tadi, saya menuliskan 'selama mana huruf jar tersebut itu bukan zaidah'. Ini kerana, sekiranya ia adalah zaidah, maka huruf jar tersebut beserta majrurnya tidak boleh dimahzufkan, dan adalah lebih baik untuk tidak ditakdimkan atau ditakhirkan. Ini berlaku kerana sekiranya ia dimahzufkan seperti huruf-huruf jar yang lain, maka struktur ayat bukan saja rosak, bahkan makna akan menjadi salah.
Saya harap tulisan ini dapat difahami. Makna yang kurang tetapi masih betul, berbeza dengan makna yang kurang bahkan juga salah. Anda akan lebih jelas sekiranya memahami jar zaidah dengan lebih teliti lagi. Soalnya, bagaimana membezakan jar zaidah, dengan jar bukan zaidah.
No comments:
Post a Comment